Kaherah (Mesir), 21 Oktober 2023: Walaupun perang Palestin-Israel yang berlarutan sudah memasuki hari ke-14, lintasan Rafah yang menjadi satu-satunya pintu masuk ke Gaza melalui Mesir masih belum dibuka. Namun, itu tidak menghalang gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Miles of Smiles yang turut disertai Muslim Care Malaysia (MCM) untuk menghantar bantuan perubatan kepada rakyat Palestin.
Menurut Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail, pihaknya telah membeli dan mengumpulkan pelbagai jenis peralatan perubatan seperti kerusi roda, katil, pembalut luka, lampin pakai buang, tongkat dan lain-lain, yang bernilai RM7 juta. Beliau berkata sumbangan rakyat Malaysia melalui MCM sebanyak RM500,000 turut dimanfaatkan untuk tujuan itu.
“Kami sudah banyak kali bekerjasama dengan Miles of Smiles dan yakin semua barangan ini akan sampai kepada rakyat Palestin di Gaza yang memerlukannya. Cuma, cepat atau lambat kita tidak tahu kerana ia bergantung kepada banyak faktor dan di luar bidang kuasa kita. Kami dari MCM datang ke sini untuk sama-sama menguruskan pembelian barangan perubatan ini dan akan memastikan semuan barangan perubatan ini sampai ke Gaza, insyaAllah,” katanya.
Beliau bersama dua lagi anggota misi iaitu Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein akan turut menyertai konvoi Miles of Smiles memasuki Gaza sekiranya keadaan mengizinkan.
Pengarah Miles of Smiles, Dr Essam Mustafe mengucapkan terima kasih kepada MCM dan rakyat Malaysia yang prihatin dan menghulurkan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin. Menurutnya, Miles of Smiles dianggotai NGO dari pelbagai negara termasuk Turki, Kuwait, Afrika Selatan, Jordan, Mesir dan United Kingdom.
“Daripada USD$1.5 juta yang berjaya kita kumpulkan melalui gabungan NGO ini, lebih 50 peratus sudah kita belanjakan untuk membeli barangan perubatan. Ada lagi yang belum kita beli kerana hari ini (Jumaat) kedai tutup dan stok tidak mencukupi,” katanya.
Sementara itu, ratusan lori berisi muatan barangan makanan, perubatan dan keperluan harian beratur sejak lebih seminggu lalu bagi menunggu giliran di laluan ke lintasan Rafah untuk masuk ke Gaza. Pihak berkuasa Mesir sebelum ini memaklumkan akan membenarkan 20 lori masuk ke Gaza pada Jumaat, 20 Oktober 2023, namun ia tidak berlaku.
Menurut satu kenyataan, kerajaan Mesir memberitahu pihaknya perlukan lebih masa untuk membaiki jalan yang rosak akibat dibom tentera Israel dan mengalihkan kepingan konkrit yang menjadi perisai keselamatan bagi melindungi kompleks imigresen di Rafah.
Lebih 4,000 rakyat Palestin terbunuh dan ribuan yang lain cedera sejak perang Palestin-Israel tercetus pada 7 Oktober lalu.